24 April 2012

DILEMA PENGUSAHA RUMAH BURUNG WALIT

Assalamualaikum, dan salam sejahtera. Selamat bertemu kembali kepada semua pembaca. Setelah sekian lama tidak menulis kerana sibuk dengan urusan harian. Apa khabar semua?,, harap- harap sihat hendaknya.

Bagaimana perkembangan rumah burung walit anda?
Kini kebanyakan pengusaha rumah burung walit dalam dilema kerana kejatuhan harga sarang burung walit yang jatuh mendadak.
Kita harapkan satu hari nanti, harga sarang burung walit akan kembali stabil seperti sebelumnya.

Ramai pengusaha rumah burung walit yang sudah naik bosan dan ada yang sudah tidak mempedulikan lagi rumah burung walit mereka, apatah lagi rumah burung walit yang masih kosong setelah hampir 2 tahun diusahakan.
Namun bagi saya, tindakan sebegitu tidak betul dan merugikan diri sendiri. Setelah melabur puluhan ribu ringgit, adakah kita sanggup melihat pelaburan kita lenyap begitu sahaja?
Saya percaya, setiap masalah itu ada jalan penyelesaiannya.

Jika rumah burung walit anda ,masih tidak didiami oleh burung walit setelah hampir 2 tahun, carilah punca masalah tersebut. Tanyalah rakan-rakan yang telah berjaya, atau cari maklumat di majalah, buku atau di internet. Jangan cepat putus asa dan mengalah begitu sahaja.

Rumah burung walit yang masih kosong atau tidak didiami burung walit dipengaruhi oleh beberapa sebab.:
1) Lubang masuk:
                           Lubang masuk burung walit sangat penting, saiz lubang masuk jangan terlalu kecil kerana akan menyukarkan burung walit untuk masuk dan keluar. Kedudukan lubang masuk hendaklah menghadap ke arah terbang burung walit pulang pada waktu petang. Kita boleh memerhatikan arah terbang burung walit  pulang antara jam 4 hingga 7 petang.
Lubang masuk yang menghadap arah terbang burung walit pulang akan mudah dimasuki burung walit.
Lubang diantara ruang legar dan ruang untuk bersarang pula jangan terdapat halangan agar burung walit senang memasuki ruang untuk bersarang.

2) Suhu dan kelembapan.:
                                       Suhu dan kelembapan di dalam rumah burung walit hendaklah sesuai dengan persekitaran asal burung walit iaitu suhu antara 26' _ 28'c dan kelembapan antara 80% - 90%.

3) Keadaan papan sirip :
                                     Keadaan papan sirip juga perlu diperiksa. Kadang-kadang papan sirip yang terdedah kepada kelembapan yang terlalu tinggi akan mudah ditumbuhi sejenis kulat kayu. Kulat kayu ini boleh  dihapuskan dengan menggunakan sodium prophenit. Campurkan sodium prophenit dengan dengan air dan sapu/ semburkan pada bahagian yang terdapat kulat tadi.

4) Aroma :
                Aroma dalam rumah burung walit sangat penting. Mungkin di dalam rumah burung walit kita masih terdapat bau simen yang tidak disukai burung walit. Cuba taburkan tahi burung walit di sekitar dalam rumah burung walit agar dapat mengurangkan bau simem tadi. Kita juga boleh menggunakan serbuk amonia, tetapi jangan tertlalu banyak kerana bau amonia terlalu kuat.
Aroma untuk papan sirip juga tidak kurang pentingnya. Ambilkan sarang burung walit ( sarang yang kurang baik )/ rendamkan di dalam air selama satu minggu, kemudian cairan tadi boleh disapu/ semburkan di beberapa bahagian papan sirip. Ini akan membantu untuk mempercepatkan burung walit untuk membuat sarang.
Jika tidak mempunyai sarang burung walit untuk dibuat aroma, cuba cari sejenis rumpai laut ( di Sarawak disebut janggut duyung ), kisarkan rumpai laut tersebut dan campurkan dengan air. Peram selama satu minggu. Selepas itu, bolehlah sapukan/semburkan cairan tadi di papan sirip.

5) Haiwan perosak.:
                               Perhatikan juga di sekitar dalam dan luar rumah burung walit mungkin terdapat haiwan perosak yang mendiami rumah burung walit kita seperti tikus, cicak, biawak dan sebagainya. Burung hantu adalah antara musuh burung walit. Burung hantu biasanya akan memasuki rumah burung walit pada waktu petang, carilah jalan penyelesaian yang sewajarnya untuk mengatasi masalah haiwan perosak tersebut......

12 May 2011

Elakkan tenik rampasan

Dalam kita mengejar keuntungan ketika harga sarang burung walit tinggi, janganlah kita lupa akan kesinambungan generasi burung walit yang akan datang. Ada sesetengah pengusaha rumah burung walit sanggup mengambil sarang dengan tenik rampasan iaitu dengan membuang telur dan anak burung walit yang ada di dalam sarang. Ada juga yang mengalihkan telur dan anak burung walit ke dalam sarang yang lain. Cara sebegini sebenarnya salah dan juga kejam.
Anak burung walit yang dialihkan ke sarang yang lain tidak lagi mendapat penjagaan dari ibunya, kerana ibunya tidak tahu lagi ke mana anaknya pergi dan menganggap ia sudah hilang atau mati. Manakala di sarang tumpangan pula, anak burung walit tersebut tidak akan diterima oleh ibu tumpangannya kerana ibu tumpangan akan tahu yang itu bukan anaknya sendiri.
Akhirnya anak burung walit tersebut mungkin akan jatuh ke lantai dan mati kelaparan.

Anak burung walit yang jatuh ke lantai akan mati kelaparan


Kasihanilah dan sayangilah pada burung walit kerana ia merupakan aset yang sangat bernilai kepada kita sebagai pengusaha rumah burung walit. Untuk berjaya dalam perusahaan ini, kita hendaklah banyak berusaha dan bersabar.

Tenik rampasan akan membawa kesan buruk

Bersama-samalah kita menjaga agar populasi burung walit semakin bertambah..
RENUNG-RENUNGKAN......

11 May 2011

Lagi aduan gangguan bunyi bising


Hari ini terpampang dalam harian metro mengenai aduan penduduk tentang gangguan bunyi bising dan kotoran najis burung dari premis pengusaha rumah burung walit.
Mengapa perkara ini berlaku? Bunyi pemanggil burung walit tidak seharusnya dipasang terlalu kuat sehingga boleh mengganggu ketenteraman jiran. Burung walit juga sebenarnya tidak suka jika suara pemanggil dipasang terlalu kuat kerana burung walit mempunyai sistem pendengaran yang sensitif.

Perkara sebegini akan membuatkan orang ramai beranggapan negatif terhadap perusahaan ini.
Dalam aduan tersebut juga, penduduk ada mengatakan kawasan sekitar premis menjadi kotor akibat najis burung walit. Bagi saya, perkara ini tidak betul. Mungkin mereka masih keliru dan tidak tahu membezakan antara burung walit dan burung layang-layang.
Burung walit tidak membuang najis ketika terbang (kalau ada pun jumlahnya cuma 0.05% sahaja). Burung walit cuma membuang najis semasa berehat di dalam rumah/ sarangnya sahaja, inilah sifat istimewa burung walit.

Saya berpendapat, kotoran najis burung yang didakwa penduduk tersebut adalah najis dari burung lain/ burung layang-layang yang bertenggek dan tidur di atas pokok, wayar elektrik dan bumbung bangunan.
Saya berpendapat demikian kerana saya sendiri pernah menyaksikan fenomena sebegini di Sarikei dan Pekan Kabong, Sarawak. Di kawasan tersebut terdapat banyak burung walit dan burung layang-layang. Pada mulanya orang ramai disitu juga mendakwa kawasan sekitar seperti jalan raya, bumbung kereta kotor oleh najis burung walit, namun setelah kita menerangkan perbezaan burung walit dan burung layang-layang, barulah mereka faham dan menerima hakikat yang kotoran najis tersebut adalah dari burung layang-layang yang tidur di atas pokok, wayar elektrik dan juga di atas bumbung bangunan.

Kesimpulannya disini, dalam kita mengusaha rumah burung walit, kita juga hendaklah mengawal paras bunyi agar tidak mengganggu ketenteraman awam. Jika boleh, kita tidak mahu lagi mendengar orang mengadu pasal bunyi bising dari rumah burung walit. Dengan itu juga orang ramai tidak lagi beranggapan negatif terhadap perusahaan ini.

Perusahaan burung walit ini sebenarnya adalah sangat baik dan menguntungkan.......

10 May 2011

Mengawal serangan haiwan pemangsa burung walit

Haiwan pemangsa adalah sangat merbahaya jika tidak dikawal. Ia boleh menyebabkan burung walit lari dan berpindah ke rumah burung walit lain.
Terdapat banyak jenis haiwan pemangsa burung walit, antaranya ialah cicak (akan makan sarang burung walit), tikus( akan makan sarang dan telur), ular, biawak dan burung hantu (akan makan anak burung walit).

Burung hantu merupakan pemangsa yang paling popular di kalangan pengusaha rumah burung walit. Burung hantu boleh memasuki rumah burung walit melalui lubang masuk dan menyerang burung walit terutama anak burung walit yang berada di dalam sarang.

Masalah serangan burung hantu adalah sangat serius dan harus dikawal dengan segara agar perkembangan populasi burung walit tidak terjejas.

Untuk menghalang burung hantu dari memasuki rumah kita boleh memasang jaring, tetapi harus diletakkan agak jauh dari rumah burung walit, sebaiknya dekat dengan pokok di mana burung hantu selalu bertenggek.
Cara yang kedua ialah memasang dawai yang berduri atau gunakan paku dan diletakkan di bahagian bawah lubang masuk untuk menghalang burung hantu dari bertenggek di depan lubang masuk.
Cara yang ketiga ialah memasang lampu ditepi lubang masuk untuk menakutkan burung hantu.

Oleh itu hendaklah selalu memantau sekurang-kurangnya 2 minggu sekali untuk memeriksa dalam rumah burung walit agar bebas dari serangan haiwan pemangsa ini.

08 April 2011

aroma untuk rumah walit

Aroma untuk rumah burung walit adalah sebagai media penggalak dan perangsang. Rumah burung walit yang baru masih terdapat bau seperti simen, asbestos dan sebagainya. Bau seperti ini tidak disukai oleh burung walit.
Untuk menghilang kan bau simen ini, ambil beberapa biji buah nenas yang masak, dikisar dan dicampurkan dengan air. Gunakan air campuran buah nenas ini untuk menyiram lantai dan dinding di bahagian dalam rumah. Biarkan kering selama satu minggu.

Selepas itu, campurkan tahi burung walit/ guano dengan air. Rendamkan selama satu minggu. Gunakan air campuran guano tadi untuk menyiram lantai dan dinding, tetapi jangan terkena pada papan sirip. Campuran guano ini juga boleh diletakkan di dalam besin dan letakkan di beberapa bahagian dalam rumah. Tujuannya agar rumah burung walit kita akan berbau/ beraroma seperti telah di huni oleh burung walit.
Ini akan menggalakkan burung walit yang datang agar mendiami/ menghuni rumah burung walit kita.
Periksalah dan tambahkan air di dalam besin campuran guano ini agar tidak kering.

04 April 2011

Mengawal suhu dan kelembapan

Suhu dan kelembapan memainkan peranan penting yang menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah rumah burung walit. Selain faktor cahaya dan bunyi, suhu yang ideal bagi habitat burung walit ialah sekitar 27'c - 30'c.
Suhu yang terlalu rendah juga tidak sesuai untuk burung walit dan jika terlalu tinggi, akan memberi kesan kepada sarang burung walit. Sarang burung walit akan mudah pecah kerana terlalu kering dan panas. Oleh itu, aliran udara di dalam rumah burung walit adalah penting bertujuan untuk mengawal suhu.
Untuk mengawal suhu, rumah burung walit hendaklah dibuat lubang pengudaraan di bahagian dinding. Biasanya paip pvc 4" yang selalu digunakan. Ini adalah bertujuan mengawal aliran udara. Penggunaan kipas pengedaran udara (exhaus fan) juga berkesan untuk tujuan ini. Ia boleh di pasang di bahagian dinding atau siling bertujuan untuk menyedut udara panas di dalam rumah dan di alir kan keluar. Pastikan kipas pengedaran udara yang dipasang tidak menghasil kan bunyi yang terlalu kuat.

Di bahagian luar rumah pula, lebih baik jika dipasangkan jaring hitam ( yang selalu digunakan untuk tanaman orkid). Gunakan jaring yang tebal ( 70%). Jaring di pasang sebaik-baiknya mengelilingi rumah dan jarak antara jaring dan dinding ialah 2 - 3 kaki. Dengan cara ini bukan sahaja murah, tetapi juga berkesan untuk mengawal suhu antara 27'c - 30'c.

Terdapat juga pemilik rumah burung walit yang tidak mengetahui perbezaan antara suhu dan kelembapan  ini.
Kelembapan adalah kandungan air di dalam udara. Tidak semestinya suhu yang  rendah akan menjamin kelembapan yang tinggi. Walaupun suhu antara 27'-30'c, tetapi udara adalah kering ( kandungan air dalam udara antara 50% sahaja ). Untuk mengawal kelembapan ini terdapat pelbagai cara. Cara yang paling senang dan berkesan ialah dengan memasang alat pembuat kabus ( ultrasonic humidifier ) yang boleh di dapati di pasaran. Tetapi kosnya agak tinggi kerana kita akan memerlukan lebih daripada satu unit alat tersebut untuk sesebuah rumah burung walit kita.
Cara yang murah juga boleh dipraktikkan. Letak kan besin yang berisi air di beberapa bahagian dalam rumah, gunakan pam air(water pump) yang biasa digunakan dalam akuarium ikan untuk mengepam dan membuat kitaran air di dalam besin tadi. Kaedahnya sama seperti di dalam akuarium. Air akan di pam dan masuk semula ke dalam besin tadi. Cuma kita perlu kawal percikan air agar tidak terlalu kuat.
Selain pam air tadi pam angin (air pump ) juga boleh digunakan. Pasang kan pam tadi dan masukkan hos angin  
ke dalam besin tersebut dan diikat dengan batu sebagai pemberat. Apabila pam di hidup kan, gelembung udara akan terhasil dan akan membebaskan udara yang sejuk.

Gunakan alat pengukur untuk mengukur suhu dan kelembapan. Kelembapan yang terlalu tinggi juga tidak sesuai kerana sarang burung walit akan menjadi lembik dan kurang bermutu. Kelembapan yang terlalu tinggi juga akan menyebabkan papan sirip mudah dijangkiti lumut/ kulat.

Jadi, untuk memastikan rumah burung walit kita agar terus dihuni oleh burung walit dan terus berjaya, sentiasa lah memantau suhu dan kelembapan ini agar tidak terkurang dan tidak terlebih.

01 April 2011

Sarang imitasi/ sarang palsu, mempercepatkan pembiakan burung walit

Kebanyakan burung walit yang mendiami sesebuah rumah burung walit yang baru adalah terdiri daripada burung walit yang muda. Burung walit yang sudah mempunyai sarang di tempat lain/rumah burung walit yang lain tidak akan mendiami rumah burung walit kita yang baru ini, ia hanya datang dan bermain sahaja selain mencari makanan dan akan pulang ke sarang/ tempat tinggal sendiri. Inilah sifat semulajadi burung walit. Kecualilah tempat tinggal yang sedia ada telah rosak atau di kacau ganggu, barulah ia akan berpindah dan mencari tempat tinggal yang baru.

Jadi, rumah burung walit kita yang masih baru ini akan mengambil masa setahun atau dua tahun, barulah populasi burung walit di rumah kita akan bertambah.
Untuk mempercepatan perkembangan populasi burung walit dalam rumah kita yang baru ini, kita hendaklah mencari inisiatif untuk mempercepatan pembiakannya.
Burung walit mengambil masa 2 hingga 4 bulan sebelum membuat sarang yang pertama. Ini kerana burung walit masih mencari tempat atau sudut yang sesuai. Ia sentiasa pindah dari satu sudut ke satu sudut sebelum menemui tempat yang dirasakan selamat dan sesuai untuk membuat sarang. Kita dapat melihat dari taburan tahi burung walit/guano di dalam rumah. Contohnya, jika sesuatu sudut di mana burung walit tidur, cuba perhatikan di lantai, terdapat tompokan tahi/guano ini, gunakan manila kad dan letak kan di atas tompokan tahi/ guano ini. Selepas seminggu, periksa lah manila kad yang kita letak tadi, jika terdapat tahi/guano di atasnya, bermakna burung walit telah memilih tempat atau sudut itu untuk tinggal dan bersarang. Tetapi jika tahi/guano tidak bertambah, ini menandakan ia telah berpindah atau mencari tempat/sudut lain.

Untuk mempercepatan burung  walit membuat sarang dan membiak, kita boleh menyediakan sarang imitasi/sarang palsu. Sarang imitasi ini boleh didapati dari kedai yang menjual kelengkapan rumah burung walit.
Selain itu, cara yang paling mudah dan murah untuk membuat sarang imitasi ini ialah menggunakan polystrin/stereofoam. Potong mengikut saiz 1 inci tebal x 1 inci lebar dan 6 inci panjang. Lekatkan stereofoam tadi di papan sirip menggunakan skru dan berhampiran tweeter. Lekatkan di beberapa bahagian papan sirip.
Burung walit akan memilih sarang imitasi ini sebagai tempat untuk membuat sarang kerana  burung walit muda ini belum mempunyai banyak air liur untuk membuat sarang sendiri. Di atas sarang imitasi ini, burung walit hanya menggunakan sedikit sahaja air liur untuk membuat sarang iaitu hanya untuk menambah baik sarang yang telah kita sediakan.


membiak dlm sarang imitasi

Apabila burung walit sudah mula membiak di sarang tersebut, maka jumlahnya akan mula bertambah. Anak-anak burung walit ini akan tinggal dan seterusnya bersarang berhampiran/ bersebelahan dengan sarang ibunya.
Biarkan sarang imitasi yang kita buat tadi kekal di situ sehingga 3 hingga 4 kali musim membiak. Selepas itu barulah kita alihkan di tempat lain.
berbincang untuk membuat sarang sendiri atau memilih sarang imitasi


akhirnya memilih sarang imitasi


Sebagai contoh : jika kita membuat 50 biji sarang imitasi dalam rumah burung walit dan kesemuanya digunakan oleh burung walit untuk membiak, dan setiap sarang menetaskan 2 ekor anak burung walit dalam satu musim membiak, dalam setahun pula burung walit akan bertelur dan membiak sebanyak 3/4 kali. Maka secara kasarnya dalam tempoh satu tahun, sebanyak 300/400 ekor anak burung walit telah menetas dan seterusnya tinggal dalam rumah burung walit kita. Dengan ini populasinya semakin cepat berkembang......


stereofoam jadi pilihan utama