08 April 2011

aroma untuk rumah walit

Aroma untuk rumah burung walit adalah sebagai media penggalak dan perangsang. Rumah burung walit yang baru masih terdapat bau seperti simen, asbestos dan sebagainya. Bau seperti ini tidak disukai oleh burung walit.
Untuk menghilang kan bau simen ini, ambil beberapa biji buah nenas yang masak, dikisar dan dicampurkan dengan air. Gunakan air campuran buah nenas ini untuk menyiram lantai dan dinding di bahagian dalam rumah. Biarkan kering selama satu minggu.

Selepas itu, campurkan tahi burung walit/ guano dengan air. Rendamkan selama satu minggu. Gunakan air campuran guano tadi untuk menyiram lantai dan dinding, tetapi jangan terkena pada papan sirip. Campuran guano ini juga boleh diletakkan di dalam besin dan letakkan di beberapa bahagian dalam rumah. Tujuannya agar rumah burung walit kita akan berbau/ beraroma seperti telah di huni oleh burung walit.
Ini akan menggalakkan burung walit yang datang agar mendiami/ menghuni rumah burung walit kita.
Periksalah dan tambahkan air di dalam besin campuran guano ini agar tidak kering.

04 April 2011

Mengawal suhu dan kelembapan

Suhu dan kelembapan memainkan peranan penting yang menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah rumah burung walit. Selain faktor cahaya dan bunyi, suhu yang ideal bagi habitat burung walit ialah sekitar 27'c - 30'c.
Suhu yang terlalu rendah juga tidak sesuai untuk burung walit dan jika terlalu tinggi, akan memberi kesan kepada sarang burung walit. Sarang burung walit akan mudah pecah kerana terlalu kering dan panas. Oleh itu, aliran udara di dalam rumah burung walit adalah penting bertujuan untuk mengawal suhu.
Untuk mengawal suhu, rumah burung walit hendaklah dibuat lubang pengudaraan di bahagian dinding. Biasanya paip pvc 4" yang selalu digunakan. Ini adalah bertujuan mengawal aliran udara. Penggunaan kipas pengedaran udara (exhaus fan) juga berkesan untuk tujuan ini. Ia boleh di pasang di bahagian dinding atau siling bertujuan untuk menyedut udara panas di dalam rumah dan di alir kan keluar. Pastikan kipas pengedaran udara yang dipasang tidak menghasil kan bunyi yang terlalu kuat.

Di bahagian luar rumah pula, lebih baik jika dipasangkan jaring hitam ( yang selalu digunakan untuk tanaman orkid). Gunakan jaring yang tebal ( 70%). Jaring di pasang sebaik-baiknya mengelilingi rumah dan jarak antara jaring dan dinding ialah 2 - 3 kaki. Dengan cara ini bukan sahaja murah, tetapi juga berkesan untuk mengawal suhu antara 27'c - 30'c.

Terdapat juga pemilik rumah burung walit yang tidak mengetahui perbezaan antara suhu dan kelembapan  ini.
Kelembapan adalah kandungan air di dalam udara. Tidak semestinya suhu yang  rendah akan menjamin kelembapan yang tinggi. Walaupun suhu antara 27'-30'c, tetapi udara adalah kering ( kandungan air dalam udara antara 50% sahaja ). Untuk mengawal kelembapan ini terdapat pelbagai cara. Cara yang paling senang dan berkesan ialah dengan memasang alat pembuat kabus ( ultrasonic humidifier ) yang boleh di dapati di pasaran. Tetapi kosnya agak tinggi kerana kita akan memerlukan lebih daripada satu unit alat tersebut untuk sesebuah rumah burung walit kita.
Cara yang murah juga boleh dipraktikkan. Letak kan besin yang berisi air di beberapa bahagian dalam rumah, gunakan pam air(water pump) yang biasa digunakan dalam akuarium ikan untuk mengepam dan membuat kitaran air di dalam besin tadi. Kaedahnya sama seperti di dalam akuarium. Air akan di pam dan masuk semula ke dalam besin tadi. Cuma kita perlu kawal percikan air agar tidak terlalu kuat.
Selain pam air tadi pam angin (air pump ) juga boleh digunakan. Pasang kan pam tadi dan masukkan hos angin  
ke dalam besin tersebut dan diikat dengan batu sebagai pemberat. Apabila pam di hidup kan, gelembung udara akan terhasil dan akan membebaskan udara yang sejuk.

Gunakan alat pengukur untuk mengukur suhu dan kelembapan. Kelembapan yang terlalu tinggi juga tidak sesuai kerana sarang burung walit akan menjadi lembik dan kurang bermutu. Kelembapan yang terlalu tinggi juga akan menyebabkan papan sirip mudah dijangkiti lumut/ kulat.

Jadi, untuk memastikan rumah burung walit kita agar terus dihuni oleh burung walit dan terus berjaya, sentiasa lah memantau suhu dan kelembapan ini agar tidak terkurang dan tidak terlebih.

01 April 2011

Sarang imitasi/ sarang palsu, mempercepatkan pembiakan burung walit

Kebanyakan burung walit yang mendiami sesebuah rumah burung walit yang baru adalah terdiri daripada burung walit yang muda. Burung walit yang sudah mempunyai sarang di tempat lain/rumah burung walit yang lain tidak akan mendiami rumah burung walit kita yang baru ini, ia hanya datang dan bermain sahaja selain mencari makanan dan akan pulang ke sarang/ tempat tinggal sendiri. Inilah sifat semulajadi burung walit. Kecualilah tempat tinggal yang sedia ada telah rosak atau di kacau ganggu, barulah ia akan berpindah dan mencari tempat tinggal yang baru.

Jadi, rumah burung walit kita yang masih baru ini akan mengambil masa setahun atau dua tahun, barulah populasi burung walit di rumah kita akan bertambah.
Untuk mempercepatan perkembangan populasi burung walit dalam rumah kita yang baru ini, kita hendaklah mencari inisiatif untuk mempercepatan pembiakannya.
Burung walit mengambil masa 2 hingga 4 bulan sebelum membuat sarang yang pertama. Ini kerana burung walit masih mencari tempat atau sudut yang sesuai. Ia sentiasa pindah dari satu sudut ke satu sudut sebelum menemui tempat yang dirasakan selamat dan sesuai untuk membuat sarang. Kita dapat melihat dari taburan tahi burung walit/guano di dalam rumah. Contohnya, jika sesuatu sudut di mana burung walit tidur, cuba perhatikan di lantai, terdapat tompokan tahi/guano ini, gunakan manila kad dan letak kan di atas tompokan tahi/ guano ini. Selepas seminggu, periksa lah manila kad yang kita letak tadi, jika terdapat tahi/guano di atasnya, bermakna burung walit telah memilih tempat atau sudut itu untuk tinggal dan bersarang. Tetapi jika tahi/guano tidak bertambah, ini menandakan ia telah berpindah atau mencari tempat/sudut lain.

Untuk mempercepatan burung  walit membuat sarang dan membiak, kita boleh menyediakan sarang imitasi/sarang palsu. Sarang imitasi ini boleh didapati dari kedai yang menjual kelengkapan rumah burung walit.
Selain itu, cara yang paling mudah dan murah untuk membuat sarang imitasi ini ialah menggunakan polystrin/stereofoam. Potong mengikut saiz 1 inci tebal x 1 inci lebar dan 6 inci panjang. Lekatkan stereofoam tadi di papan sirip menggunakan skru dan berhampiran tweeter. Lekatkan di beberapa bahagian papan sirip.
Burung walit akan memilih sarang imitasi ini sebagai tempat untuk membuat sarang kerana  burung walit muda ini belum mempunyai banyak air liur untuk membuat sarang sendiri. Di atas sarang imitasi ini, burung walit hanya menggunakan sedikit sahaja air liur untuk membuat sarang iaitu hanya untuk menambah baik sarang yang telah kita sediakan.


membiak dlm sarang imitasi

Apabila burung walit sudah mula membiak di sarang tersebut, maka jumlahnya akan mula bertambah. Anak-anak burung walit ini akan tinggal dan seterusnya bersarang berhampiran/ bersebelahan dengan sarang ibunya.
Biarkan sarang imitasi yang kita buat tadi kekal di situ sehingga 3 hingga 4 kali musim membiak. Selepas itu barulah kita alihkan di tempat lain.
berbincang untuk membuat sarang sendiri atau memilih sarang imitasi


akhirnya memilih sarang imitasi


Sebagai contoh : jika kita membuat 50 biji sarang imitasi dalam rumah burung walit dan kesemuanya digunakan oleh burung walit untuk membiak, dan setiap sarang menetaskan 2 ekor anak burung walit dalam satu musim membiak, dalam setahun pula burung walit akan bertelur dan membiak sebanyak 3/4 kali. Maka secara kasarnya dalam tempoh satu tahun, sebanyak 300/400 ekor anak burung walit telah menetas dan seterusnya tinggal dalam rumah burung walit kita. Dengan ini populasinya semakin cepat berkembang......


stereofoam jadi pilihan utama