30 March 2011

Peranan suara pemanggil dan suara anak burung walit

Satu lagi perkara penting dalam sesebuah rumah burung walit iaitu suara/bunyi burung walit. Tanpa pemasangan suara/bunyi, sesebuah rumah burung walit berkemungkinan akan kosong tanpa penghuni(burung walit).
Suara panggil penting untuk memanggil burung walit datang ke rumah burung walit kita. Terdapat banyak jenis suara panggil pada masa kini. Ia boleh didapati dalam bentuk cd, sd card dan paling popular sekarang ialah dalam bentuk pendrive.

Suara panggil yang berkualiti baik akan menarik banyak burung walit datang dan bermain di rumah burung walit kita seterusnya barulah burung walit akan cuba masuk dan menjelajah ke dalam rumah. Jika bunyi panggil yang digunakan adalah bunyi yang berkualiti baik, burung walit akan menunjukkan reaksi kejar-mengejar dan bersahut-sahutan. Burung walit juga akan terbang menghampiri tweeter seolah-olah mencium tweeter tersebut.
Ini menandakan bahawa ia suka dan tertarik dengan bunyi tersebut.
Tetapi jika bunyi yang digunakan kurang berkualiti atau bunyi burung walit yang stress, burung walit cuma akan datang dan berlegar di kawasan rumah untuk sekejap waktu sahaja dan kemudian beredar ke tempat lain tanpa masuk pun ke dalam rumah. Jadi, kita haruslah memilih suara panggil yang  berkualiti baik dan jernih.

Suara anak/suara dalam juga penting. Bila burung walit masuk dan menjelajah ke dalam rumah, suara anak/suara dalam inilah yang akan memainkan peranan penting. Burung walit akan beranggapan yang rumah burung walit kita sudahpun didiami oleh burung walit, maka ia akan mula mencari/ memilih tempat tinggal masing-masing di papan sirip. Ini juga bergantung kepada jumlah tweeter yang di pasang. Semakin banyak tweeter yang dipasang maka semakin banyaklah bunyi yang terhasil. Burung walit akan memilih tempat tinggal berhampiran tweeter, kerana bunyi/suara anak ini akan membuatkan burung walit merasa selamat dan tenteram seolah-olah berada dalam koloni atau keluarga masing-masing.

Dengan ini, kita bolehlah memikirkan berapakah jumlah tweeter untuk suara anak/suara dalam yang perlu kita pasang untuk rumah burung walit kita. 

29 March 2011

Pemasangan tweeter.

Tweeter adalah salah satu lagi elemen penting dalam sesebuah rumah burung walit. Tweeter yang biasa digunakan terdiri dari 2 jenis yang utama :
1- 3" x 7" - untuk suara pemanggil
2- 2" x 5" - untuk suara dalam/ suara anak

Untuk suara pemanggil, tweeter harus di pasang di bahagian pintu masuk/lubang masuk burung. Ini bertujuan untuk memanggil burung walit untuk datang ke rumah burung walit kita. Di bahagian pintu masuk dari ruang legar ke ruang tempat tinggal/ ruang membuat sarang juga perlu dipasang bertujuan sebagai panduan untuk burung walit masuk dari ruang legar ke ruang tempat bersarang.

Jika rumah burung walit melebihi satu tingkat, tweeter untuk suara pemanggil ini juga perlu dipasang di bahagian lubang antara lantai (LAL). Ini juga bertujuan untuk memanggil burung walit supaya masuk ke ruang bawah.
Tweeter di bahagian pintu masuk/lubang masuk burung sebaiknya menghadap ke atas iaitu 60'. Ini bertujuan untuk mengelakkan bunyi terlalu bising kerana kita juga perlu menjaga ketenteraman terutama jiran-jiran.
Di bahagian bumbung juga boleh dipasang tweeter pemanggil ini. Ia boleh dibuat bentuk segiempat, iaitu menggunakan 4 buah tweeter ataupun segienam menggunakan 6 buah tweeter. Kedudukan tweeter di atas bumbung mestilah berdekatan atau lebih baik di bahagian atas lubang masuk burung. Ketinggianya pula tidak melebihi 3 kaki. Tweeter di bahagian atas bumbung ini bertujuan memanggil burung walit yang terbang di sekitar kawasan rumah iaitu di kiri, kanan dan belakang rumah untuk datang ke rumah burung walit kita.
Pemasangan tweeter di bahagian bumbung ini  sangat berkesan untuk memanggil burung walit terutama rumah burung walit yang baru.

Tweeter di bahagian atas bumbung

Untuk tweeter suara dalam/suara anak pula, dipasang di bahagian bawah papan sirip. Kedudukannya hendaklah menghala sedikit ke bawah. Ini agar suara yang dipasang akan lebih jelas didengari oleh burung walit yang berlegar di dalam rumah. Ia juga mengelakkan suara yang di pasang terpantul oleh papan sirip.
Jumlah tweeter yang dipasang di dalam rumah ini bergantung kepada pemilik rumah burung walit sendiri.
Ada yang berpendapat lebih banyak tweeter yang dipasang akan lebih baik. Dari penelitian yang dibuat, sememangnya burung walit lebih suka tidur dan membuat sarang berhampiran dengan tweeter, malah ada yang membuat sarang di atas tweeter ini.

burung walit memilih tempat tinggal berhampiran tweeter


Tweeter untuk bunyi dalam/bunyi anak ini hendaklah dipasang menghala ke pintu masuk dari ruang legar. Wayar yang digunakan untuk memasang tweeter ini hendaklah dikelipkan di bahagian bawah papan sirip supaya lebih kemas. Jangan biarkan wayar dalam keadaan kendur atau tergantung, kerana akan mengganggu burung walit yang terbang untuk mencari tempat tinggal dan bersarang.

24 March 2011

memasang papan sirip

Papan sirip adalah sangat penting dalam sesebuah rumah burung walit kerana ia akan menjadi tempat burung walit membuat sarang dan membiak.
Kayu yang hendak digunakan hendaklah jenis kayu lembut, kering dan berkeadaan baik. Saiz yang sesuai ialah 1" tebal dan 6" lebar.
JANGAN sesekali menggunakan kayu yang sudah diserang kulat atau lumut, kerana burung walit tidak suka tinggal apatah lagi membuat sarang pada kayu yang diserang kulat atau lumut.Ini juga akan mempengaruhi populasi burung walit yang tinggal dalam rumah burung walit kita.



Jika dahulu, papan sirip dipasang antara jarak 2.5 kaki dari satu papan ke satu papan, kerana dikhuatiri burung walit akan sukar untuk tinggal dan bersarang jika jarak antara papan sirip terlalu rapat.
Tetapi sekarang ini jarak antara papan sirip boleh dipasang lebih rapat iaitu minimum 1 kaki antara satu papan ke satu papan. Telah terbukti bahawa burung walit boleh tinggal dan bersarang pada jarak tersebut. Ia juga akan lebih menguntungkan pemilik rumah burung walit itu sendiri, kerana lebih banyak papan sirip yang di pasang, maka semakin tinggilah kapasiti pengeluaran sarang burung walit kita.




Papan sirip perlu juga di buat pembahagi ( petak ) iaitu sekitar 1 kaki x 6 kaki. Ini kerana burung walit tinggal berkoloni. Jika satu koloni mendiami satu petak, maka koloni yang lain akan tinggal di petak lain.
Selain itu juga, burung walit akan merasa lebih selamat dan tenteram. Ia juga akan lebih menguntungkan kerana papan pembahagi ini juga akan menjadi pilihan burung walit untuk membuat sarang.



Pada bahagian  sudut setiap petak lebih elok jika dipasang papan penjuru. Ini kerana sarang yang dihasilkan lebih besar jika dibandingkan dengan sarang di bahagian sudut yang tidak di pasang papan penjuru ini, contohnya : sarang di bahagian sudut yang tidak di pasang papan penjuru akan bersudut 90*, manakala sarang di bahagian  sudut yang di pasang papan penjuru pula bersudut 135*, maka ia akan lebih berat berbanding sarang yang bersudut 90*.
Selain itu ia juga lebih menguntungkan. Cara ini akan menghasilkan lebih banyak sudut.
Contohnya : bahagian petak yang dipasang papan penjuru akan mempunyai 8 sudut pada setiap petak, manakala bahagian petak yang tidak dipasang papan penjuru pula cuma mempunyai 4 sudut sahaja. Apa yang kita faham, burung walit akan memilih bahagian sudut terlebih dahulu sebagai tempat membuat sarang kerana merasa lebih selamat. Selain itu juga burung walit tidak memerlukan  banyak air liur untuk membuat sarang terutama burung walit yang muda, sarang yang dibuat juga akan lebih cepat siap, maka akan lebih cepatlah ia membiak.


23 March 2011

lubang masuk burung

Pada umumnya arah lubang masuk pada sesebuah rumah burung walit tidak dapat ditentukan samada menghadap ke timur,barat,utara atau selatan.
Arah lubang masuk sesebuah rumah  burung walit sebenarnya bergantung lokasi sesebuah rumah. Ianya ditentukan melihat kepada arah tiupan angin, arah terbang ketika burung walit pulang pada waktu petang dan beberapa lagi faktor lain.

Di hadapan lubang masuk rumah burung walit haruslah lapang, tidak terlindung daripada pokok dan sebagainya.
Ini agar burung walit senang untuk melihat lubang masuk. Burung walit akan berputar atau bermain berkejar-kejaran sebelum memasuki rumah.

Jenis lubang masuk yang dibuat bergantung kepada kita sendiri samada hendak membuat lubang jenis tingkap, lubang terjun ataupun rumah monyet.
Saiz lubang masuk yang sesuai adalah sekitar 20"x 30". Ini memudahkan burung walit masuk dan keluar dari rumah..Jika saiz lubang masuk terlalu kecil akan menyukarkan burung walit terutama burung muda untuk masuk dan keluar........harus diingat bahawa kita hanya dapat memikat burung walit muda untuk mendiami rumah burung walit kita..
Burung walit yang dewasa atau tua selalunya hanya datang dan bermain di rumah burung walit kita kerana ia mungkin sudah mempunyai sarang dan membiak di tempat lain...burung walit sifatnya sangat setia, kecualilah tempat kediamannya rosak atau diganggu.

Burung walit muda memang suka menjelajah di tempat baru dan jika keadaan rumah yang kita buat sesuai iaitu suhu dan kelembapan dalam rumah kita disukai oleh burung walit, ia akan mendiami rumah burung walit kita.
Jika saiz lubang masuk masuk terlalu besar pula dikhuatiri akan mudah untuk dimasuki oleh pemangsa burung walit terutama BURUNG HANTU.

Burung walit akan berlegar dan berkejaran sebelum memasuki rumah


Di ruang legar pula jangan terlalu banyak halangan,,ruang legar harus lapang agar senang burung walit untuk berlegar sebalum memasuki ruang tempat tinggal/ ruang membuat sarang.

Pada kebanyakan rumah burung walit yang kita lihat, lubang masuk dan ruang legar akan di cat dengan warna hitam. Ini hanya bertujuan untuk mengawal cahaya dalam rumah yang datang dari arah lubang masuk,,



membina sesebuah rumah burung walit

Setelah mengenal pasti lokasi yg sesuai, perkara lain yg  diambil kira ialah bahan binaan bangunan.
Bahan binaan yg paling baik digunakan ialah simen/batu bata ( kebanyakan di panggil rumah batu ) kerana senang untuk mengawal suhu dan kelembapan.
Tetapi jika kos perrmulaan kita agak kecil boleh juga digunakan bahan lain seperti papan, dan asbestos.
Cuma kita perlu memikirkan tahap keselamatan dari penceroboh(pencuri).

Selain itu kita juga perlu melihat kepada arah matahari terbit dan terbenam. Ini juga penting kerana sinaran matahari yang terkena dinding rumah akan mempengaruhi suhu di dalam rumah burung walit.
Sebaiknya rumah yang hendak dibina seharusnya memanjang mengikut matahari terbit atau terbenam. Ini dapat mengawal sinaran matahari dari terus terkena bahagian dinding lebih-lebih lagi dinding di bahagian tempat   burung bersarang.

Di bahagian dinding rumah yang dibina hendaklah di buat lubang pengudaraan. Ia boleh dibuat menggunakan samada bata lubang angin ataupun  paip pvc, di bahagian dlm, gunakan  L bow untuk mengawal cahaya manakala bahagian luar di pasang dawai jaring di bahagian hujung paip pvc tersebut untuk mengelakan dari di masuki haiwan lain seperti burung liar.

Diantara bahagian bumbung rumah dan syiling harus di buat jarak antara 1', ini bertujuan untuk pengudaraan dan mengawal haba, cara ini terbukti berkesan.

Di bahagian luar rumah juga boleh dipasang jaring hitam( orkid net ), baik gunakan yang tebal (70%), Ini juga akan membantu mengawal suhu dan kelambapan dalam rumah burung walit.



  

21 March 2011

rekabentuk rumah burung walit

Terdapat banyak rekabentuk rumah burung walit, berbagai saiz besar atau kecil. Ada yang  setingkat, 2 tingkat dan sebagainya. Namun apa yang penting, sesebuah rumah burung walit harus mempunyai tiga bahagian iaitu lubang masuk, ruang legar dan ruang tempat bersarang(membuat sarang),

Lubang masuk juga berbagai bentuk,
1- lubang masuk bentuk tingkap, iaitu dibuat di bahagian tepi dinding rumah.
2- lubang masuk jenis rumah monyet.-banyak digunakan masa sekarang.
3- lubang masuk jenis lubang terjun.
Apa yang penting lubang masuk harus mengambil kira arah terbang (putaran) burung.


                                                  
                                                Lubang masuk jenis rumah monyet





                                                 Berbagai bentuk rumah burung walit



                                  
                                    Rumah lama yang diubahsuai menjadi rumah burung walit



Ruang legar...
Ruang legar adalah tempat burung berlegar atau berputar. Burung walit akan berlegar atau bermain di ruang legar ini sebelum masuk atau menjalajah kedalam ruang tempat membuat sarang.
Saiz ruang legar yang sebaiknya ialah tidak kurang dari 12 kaki persegi.


Ruang tempat membuat sarang.
Ruang ini adalah tempat burung walit tinggal, membuat sarang dan membiak.
Papan dipasang di bahagian syiling rumah sebagai tempat burung walit membuat sarang.
Cahaya di ruang ini sebaiknya 2-3 lux, iaitu keadaan remang-remang cahaya atau cahaya seperti 2 batang lilin.
Suhu hendaklah sebaiknya 26-29'c, dan kelembapan 80%.










13 March 2011

lokasi yang sesuai untuk rumah burung walit


Perkara yang penting sebelum membina rumah burung walit ialah memilih lokasi yang sesuai, ini amat penting kerana ia akan menentukan kejayaan rumah burung walit.
Pertama sekali kawasan itu mestilah tanah pertanian.
Kawasan berhampiran sungai atau laut amat sesuai, ketika air pasang atau surut, terdapat banyak serangga yang berterbangan di permukaan air yang menjadi makanan burung walit.
Pada waktu petang kita boleh lihat terdapat banyak burung walit yang berlegar di kawasan sungai, terutama di permukaan air. Fenomena begini memang selalu kita saksikan lebih-lebih lagi selepas hujan.



Kawasan sawah padi juga merupakan kawasan yang kaya dengan makanan burung walit, kutu padi adalah merupakan makanan burung walit.



Selain dari itu, kawasan kebun kelapa sawit juga sangat sesuai kerana terdapat banyak bekalan makanan kepada burung walit.

Apa yang penting, kawasan yang dipilih hendaklah mendapat kelulusan dari majlis tempatan.
Kawasan perumahan, kawasan industri atau tempat kediaman adalah tidak digalakan.
Jika kawasan yang dipilih bersesuaian, kejayaan pasti menunggu.....yang penting kena berusaha, yakin dan bersabar......InsyaAllah.




10 March 2011

sejarah penuaian sarang burung walit



Penuaian sarang burung walit yang terawal ialah di gua niah Sarawak (sekitar tahun 960-1279 masihi). Pada masa itu pedagang dari negara China telah mengambil sarang burung walit di gua niah untuk dipersembahkan kepada maharaja China.
Pada masa dahulu sarang burung adalah terkenal sebagai santapan di raja, mungkin disebabkan itu harga sarang burung begitu tinggi.
Tetapi hari ini sesiapa sahaja boleh menikmati sarang burung walit. Bukan itu sahaja, sarang burung walit kini juga telah dijadikan bahan untuk membuat kosmetik kerana khasiatnya yang tinggi, ia juga baik untuk penjagaan kulit.


Pada masa kini penuaian sarang burung juga dilakukan dirumah, iaitu rumah burung walit.
Kita perlu menjadikan suasana rumah burung walit kita seperti habitat asal burung walit, iaitu suasana seperti di dalam gua yang didiami oleh burung walit.

09 March 2011

mengenali burung walit


Burung walit(aerodramus fuciphagus) bersaiz kecil dan mampu terbang sejauh 50 km sehari untuk mencari makanan. Makanan utama burung walit adalah serangga kecil. Burung walit makan dan minum semasa terbang. Burung walit tidak bertenggek seperti burung lain, ia menggunakan kukunya untuk mencengkam pada papan(nesting plank),saiznya sama dengan burung layang-layang, sebab itu ramai yang keliru antara burung walit dan layang-layang, bezanya burung layang-layang dapat bertenggek terutama di wayar letrik.

Burung walit mampu terbang dalam gelap menggunakan ekolokasi.
Burung walit sangat setia pada pasangan.
Menghasilkan telur 3-4 kali setahun.

08 March 2011

salam pengenalan

Tujuan blog ini adalah untuk berkongsi pengalaman dengan pembaca dan rakan sekalian mengenai perladangan burung walit.


Perusahaan burung walit semakin berkembang setiap hari, pertumbuhan rumah walit bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ini adalah kerana harga sarangnya yang begitu tinggi, sehingga ada yang menyebutnya sebagai emas putih. Ada juga yang memanggil burung ini wallet(dompet).....tidak hairanlah ramai yang berebut-rebut untuk membina rumah burung walit tidak kira besar atau kecil, tak kira bangsa cina, melayu, iban dan india,bergantung kepada kemampuan.
Ini menandakan perkembangan perusahaan ini sangat positif.