04 April 2011

Mengawal suhu dan kelembapan

Suhu dan kelembapan memainkan peranan penting yang menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah rumah burung walit. Selain faktor cahaya dan bunyi, suhu yang ideal bagi habitat burung walit ialah sekitar 27'c - 30'c.
Suhu yang terlalu rendah juga tidak sesuai untuk burung walit dan jika terlalu tinggi, akan memberi kesan kepada sarang burung walit. Sarang burung walit akan mudah pecah kerana terlalu kering dan panas. Oleh itu, aliran udara di dalam rumah burung walit adalah penting bertujuan untuk mengawal suhu.
Untuk mengawal suhu, rumah burung walit hendaklah dibuat lubang pengudaraan di bahagian dinding. Biasanya paip pvc 4" yang selalu digunakan. Ini adalah bertujuan mengawal aliran udara. Penggunaan kipas pengedaran udara (exhaus fan) juga berkesan untuk tujuan ini. Ia boleh di pasang di bahagian dinding atau siling bertujuan untuk menyedut udara panas di dalam rumah dan di alir kan keluar. Pastikan kipas pengedaran udara yang dipasang tidak menghasil kan bunyi yang terlalu kuat.

Di bahagian luar rumah pula, lebih baik jika dipasangkan jaring hitam ( yang selalu digunakan untuk tanaman orkid). Gunakan jaring yang tebal ( 70%). Jaring di pasang sebaik-baiknya mengelilingi rumah dan jarak antara jaring dan dinding ialah 2 - 3 kaki. Dengan cara ini bukan sahaja murah, tetapi juga berkesan untuk mengawal suhu antara 27'c - 30'c.

Terdapat juga pemilik rumah burung walit yang tidak mengetahui perbezaan antara suhu dan kelembapan  ini.
Kelembapan adalah kandungan air di dalam udara. Tidak semestinya suhu yang  rendah akan menjamin kelembapan yang tinggi. Walaupun suhu antara 27'-30'c, tetapi udara adalah kering ( kandungan air dalam udara antara 50% sahaja ). Untuk mengawal kelembapan ini terdapat pelbagai cara. Cara yang paling senang dan berkesan ialah dengan memasang alat pembuat kabus ( ultrasonic humidifier ) yang boleh di dapati di pasaran. Tetapi kosnya agak tinggi kerana kita akan memerlukan lebih daripada satu unit alat tersebut untuk sesebuah rumah burung walit kita.
Cara yang murah juga boleh dipraktikkan. Letak kan besin yang berisi air di beberapa bahagian dalam rumah, gunakan pam air(water pump) yang biasa digunakan dalam akuarium ikan untuk mengepam dan membuat kitaran air di dalam besin tadi. Kaedahnya sama seperti di dalam akuarium. Air akan di pam dan masuk semula ke dalam besin tadi. Cuma kita perlu kawal percikan air agar tidak terlalu kuat.
Selain pam air tadi pam angin (air pump ) juga boleh digunakan. Pasang kan pam tadi dan masukkan hos angin  
ke dalam besin tersebut dan diikat dengan batu sebagai pemberat. Apabila pam di hidup kan, gelembung udara akan terhasil dan akan membebaskan udara yang sejuk.

Gunakan alat pengukur untuk mengukur suhu dan kelembapan. Kelembapan yang terlalu tinggi juga tidak sesuai kerana sarang burung walit akan menjadi lembik dan kurang bermutu. Kelembapan yang terlalu tinggi juga akan menyebabkan papan sirip mudah dijangkiti lumut/ kulat.

Jadi, untuk memastikan rumah burung walit kita agar terus dihuni oleh burung walit dan terus berjaya, sentiasa lah memantau suhu dan kelembapan ini agar tidak terkurang dan tidak terlebih.

No comments:

Post a Comment