11 May 2011

Lagi aduan gangguan bunyi bising


Hari ini terpampang dalam harian metro mengenai aduan penduduk tentang gangguan bunyi bising dan kotoran najis burung dari premis pengusaha rumah burung walit.
Mengapa perkara ini berlaku? Bunyi pemanggil burung walit tidak seharusnya dipasang terlalu kuat sehingga boleh mengganggu ketenteraman jiran. Burung walit juga sebenarnya tidak suka jika suara pemanggil dipasang terlalu kuat kerana burung walit mempunyai sistem pendengaran yang sensitif.

Perkara sebegini akan membuatkan orang ramai beranggapan negatif terhadap perusahaan ini.
Dalam aduan tersebut juga, penduduk ada mengatakan kawasan sekitar premis menjadi kotor akibat najis burung walit. Bagi saya, perkara ini tidak betul. Mungkin mereka masih keliru dan tidak tahu membezakan antara burung walit dan burung layang-layang.
Burung walit tidak membuang najis ketika terbang (kalau ada pun jumlahnya cuma 0.05% sahaja). Burung walit cuma membuang najis semasa berehat di dalam rumah/ sarangnya sahaja, inilah sifat istimewa burung walit.

Saya berpendapat, kotoran najis burung yang didakwa penduduk tersebut adalah najis dari burung lain/ burung layang-layang yang bertenggek dan tidur di atas pokok, wayar elektrik dan bumbung bangunan.
Saya berpendapat demikian kerana saya sendiri pernah menyaksikan fenomena sebegini di Sarikei dan Pekan Kabong, Sarawak. Di kawasan tersebut terdapat banyak burung walit dan burung layang-layang. Pada mulanya orang ramai disitu juga mendakwa kawasan sekitar seperti jalan raya, bumbung kereta kotor oleh najis burung walit, namun setelah kita menerangkan perbezaan burung walit dan burung layang-layang, barulah mereka faham dan menerima hakikat yang kotoran najis tersebut adalah dari burung layang-layang yang tidur di atas pokok, wayar elektrik dan juga di atas bumbung bangunan.

Kesimpulannya disini, dalam kita mengusaha rumah burung walit, kita juga hendaklah mengawal paras bunyi agar tidak mengganggu ketenteraman awam. Jika boleh, kita tidak mahu lagi mendengar orang mengadu pasal bunyi bising dari rumah burung walit. Dengan itu juga orang ramai tidak lagi beranggapan negatif terhadap perusahaan ini.

Perusahaan burung walit ini sebenarnya adalah sangat baik dan menguntungkan.......

No comments:

Post a Comment