12 May 2011

Elakkan tenik rampasan

Dalam kita mengejar keuntungan ketika harga sarang burung walit tinggi, janganlah kita lupa akan kesinambungan generasi burung walit yang akan datang. Ada sesetengah pengusaha rumah burung walit sanggup mengambil sarang dengan tenik rampasan iaitu dengan membuang telur dan anak burung walit yang ada di dalam sarang. Ada juga yang mengalihkan telur dan anak burung walit ke dalam sarang yang lain. Cara sebegini sebenarnya salah dan juga kejam.
Anak burung walit yang dialihkan ke sarang yang lain tidak lagi mendapat penjagaan dari ibunya, kerana ibunya tidak tahu lagi ke mana anaknya pergi dan menganggap ia sudah hilang atau mati. Manakala di sarang tumpangan pula, anak burung walit tersebut tidak akan diterima oleh ibu tumpangannya kerana ibu tumpangan akan tahu yang itu bukan anaknya sendiri.
Akhirnya anak burung walit tersebut mungkin akan jatuh ke lantai dan mati kelaparan.

Anak burung walit yang jatuh ke lantai akan mati kelaparan


Kasihanilah dan sayangilah pada burung walit kerana ia merupakan aset yang sangat bernilai kepada kita sebagai pengusaha rumah burung walit. Untuk berjaya dalam perusahaan ini, kita hendaklah banyak berusaha dan bersabar.

Tenik rampasan akan membawa kesan buruk

Bersama-samalah kita menjaga agar populasi burung walit semakin bertambah..
RENUNG-RENUNGKAN......

11 May 2011

Lagi aduan gangguan bunyi bising


Hari ini terpampang dalam harian metro mengenai aduan penduduk tentang gangguan bunyi bising dan kotoran najis burung dari premis pengusaha rumah burung walit.
Mengapa perkara ini berlaku? Bunyi pemanggil burung walit tidak seharusnya dipasang terlalu kuat sehingga boleh mengganggu ketenteraman jiran. Burung walit juga sebenarnya tidak suka jika suara pemanggil dipasang terlalu kuat kerana burung walit mempunyai sistem pendengaran yang sensitif.

Perkara sebegini akan membuatkan orang ramai beranggapan negatif terhadap perusahaan ini.
Dalam aduan tersebut juga, penduduk ada mengatakan kawasan sekitar premis menjadi kotor akibat najis burung walit. Bagi saya, perkara ini tidak betul. Mungkin mereka masih keliru dan tidak tahu membezakan antara burung walit dan burung layang-layang.
Burung walit tidak membuang najis ketika terbang (kalau ada pun jumlahnya cuma 0.05% sahaja). Burung walit cuma membuang najis semasa berehat di dalam rumah/ sarangnya sahaja, inilah sifat istimewa burung walit.

Saya berpendapat, kotoran najis burung yang didakwa penduduk tersebut adalah najis dari burung lain/ burung layang-layang yang bertenggek dan tidur di atas pokok, wayar elektrik dan bumbung bangunan.
Saya berpendapat demikian kerana saya sendiri pernah menyaksikan fenomena sebegini di Sarikei dan Pekan Kabong, Sarawak. Di kawasan tersebut terdapat banyak burung walit dan burung layang-layang. Pada mulanya orang ramai disitu juga mendakwa kawasan sekitar seperti jalan raya, bumbung kereta kotor oleh najis burung walit, namun setelah kita menerangkan perbezaan burung walit dan burung layang-layang, barulah mereka faham dan menerima hakikat yang kotoran najis tersebut adalah dari burung layang-layang yang tidur di atas pokok, wayar elektrik dan juga di atas bumbung bangunan.

Kesimpulannya disini, dalam kita mengusaha rumah burung walit, kita juga hendaklah mengawal paras bunyi agar tidak mengganggu ketenteraman awam. Jika boleh, kita tidak mahu lagi mendengar orang mengadu pasal bunyi bising dari rumah burung walit. Dengan itu juga orang ramai tidak lagi beranggapan negatif terhadap perusahaan ini.

Perusahaan burung walit ini sebenarnya adalah sangat baik dan menguntungkan.......

10 May 2011

Mengawal serangan haiwan pemangsa burung walit

Haiwan pemangsa adalah sangat merbahaya jika tidak dikawal. Ia boleh menyebabkan burung walit lari dan berpindah ke rumah burung walit lain.
Terdapat banyak jenis haiwan pemangsa burung walit, antaranya ialah cicak (akan makan sarang burung walit), tikus( akan makan sarang dan telur), ular, biawak dan burung hantu (akan makan anak burung walit).

Burung hantu merupakan pemangsa yang paling popular di kalangan pengusaha rumah burung walit. Burung hantu boleh memasuki rumah burung walit melalui lubang masuk dan menyerang burung walit terutama anak burung walit yang berada di dalam sarang.

Masalah serangan burung hantu adalah sangat serius dan harus dikawal dengan segara agar perkembangan populasi burung walit tidak terjejas.

Untuk menghalang burung hantu dari memasuki rumah kita boleh memasang jaring, tetapi harus diletakkan agak jauh dari rumah burung walit, sebaiknya dekat dengan pokok di mana burung hantu selalu bertenggek.
Cara yang kedua ialah memasang dawai yang berduri atau gunakan paku dan diletakkan di bahagian bawah lubang masuk untuk menghalang burung hantu dari bertenggek di depan lubang masuk.
Cara yang ketiga ialah memasang lampu ditepi lubang masuk untuk menakutkan burung hantu.

Oleh itu hendaklah selalu memantau sekurang-kurangnya 2 minggu sekali untuk memeriksa dalam rumah burung walit agar bebas dari serangan haiwan pemangsa ini.