29 March 2011

Pemasangan tweeter.

Tweeter adalah salah satu lagi elemen penting dalam sesebuah rumah burung walit. Tweeter yang biasa digunakan terdiri dari 2 jenis yang utama :
1- 3" x 7" - untuk suara pemanggil
2- 2" x 5" - untuk suara dalam/ suara anak

Untuk suara pemanggil, tweeter harus di pasang di bahagian pintu masuk/lubang masuk burung. Ini bertujuan untuk memanggil burung walit untuk datang ke rumah burung walit kita. Di bahagian pintu masuk dari ruang legar ke ruang tempat tinggal/ ruang membuat sarang juga perlu dipasang bertujuan sebagai panduan untuk burung walit masuk dari ruang legar ke ruang tempat bersarang.

Jika rumah burung walit melebihi satu tingkat, tweeter untuk suara pemanggil ini juga perlu dipasang di bahagian lubang antara lantai (LAL). Ini juga bertujuan untuk memanggil burung walit supaya masuk ke ruang bawah.
Tweeter di bahagian pintu masuk/lubang masuk burung sebaiknya menghadap ke atas iaitu 60'. Ini bertujuan untuk mengelakkan bunyi terlalu bising kerana kita juga perlu menjaga ketenteraman terutama jiran-jiran.
Di bahagian bumbung juga boleh dipasang tweeter pemanggil ini. Ia boleh dibuat bentuk segiempat, iaitu menggunakan 4 buah tweeter ataupun segienam menggunakan 6 buah tweeter. Kedudukan tweeter di atas bumbung mestilah berdekatan atau lebih baik di bahagian atas lubang masuk burung. Ketinggianya pula tidak melebihi 3 kaki. Tweeter di bahagian atas bumbung ini bertujuan memanggil burung walit yang terbang di sekitar kawasan rumah iaitu di kiri, kanan dan belakang rumah untuk datang ke rumah burung walit kita.
Pemasangan tweeter di bahagian bumbung ini  sangat berkesan untuk memanggil burung walit terutama rumah burung walit yang baru.

Tweeter di bahagian atas bumbung

Untuk tweeter suara dalam/suara anak pula, dipasang di bahagian bawah papan sirip. Kedudukannya hendaklah menghala sedikit ke bawah. Ini agar suara yang dipasang akan lebih jelas didengari oleh burung walit yang berlegar di dalam rumah. Ia juga mengelakkan suara yang di pasang terpantul oleh papan sirip.
Jumlah tweeter yang dipasang di dalam rumah ini bergantung kepada pemilik rumah burung walit sendiri.
Ada yang berpendapat lebih banyak tweeter yang dipasang akan lebih baik. Dari penelitian yang dibuat, sememangnya burung walit lebih suka tidur dan membuat sarang berhampiran dengan tweeter, malah ada yang membuat sarang di atas tweeter ini.

burung walit memilih tempat tinggal berhampiran tweeter


Tweeter untuk bunyi dalam/bunyi anak ini hendaklah dipasang menghala ke pintu masuk dari ruang legar. Wayar yang digunakan untuk memasang tweeter ini hendaklah dikelipkan di bahagian bawah papan sirip supaya lebih kemas. Jangan biarkan wayar dalam keadaan kendur atau tergantung, kerana akan mengganggu burung walit yang terbang untuk mencari tempat tinggal dan bersarang.

No comments:

Post a Comment